Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), menerusi kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM Negeri Selangor telah melaksanakan dua program komuniti berimpak tinggi yang menumpukan kepada usaha memupuk budaya integriti dan pencegahan rasuah melalui pendidikan dan komunikasi sosial secara inklusif.

Program yang dianjurkan selama dua hari berturut-turut, iaitu Program Anti Rasuah Key Communicator pada 8 Mei 2025 (Khamis) bertempat di Masjid At-Toyyibin, Kampung Endah, Banting, serta Program Wira Anti Rasuah (WAR) pada 9 Mei 2025 (Jumaat) di Sekolah Kebangsaan Morib, Banting, melibatkan komuniti tempatan dan pelajar sekolah rendah dalam pelbagai pengisian berkonsepkan dakwah, pendidikan dan hibur didik (‘edu-tainment’).

Kedua-dua program ini merupakan inisiatif CSR PNSB bagi memperkasa budaya integriti dalam kalangan masyarakat dan pelajar melalui pendekatan pendidikan dan komunikasi sosial.

Semasa program itu, PNSB turut menyerahkan sumbangan Wakalah Agihan Zakat berupa van jenazah kepada Masjid At-Toyyibin, Banting disempurnakan penyerahan simboliknya oleh YB Datuk Borhan bin Aman Shah, EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor merangkap Ahli Lembaga Pengarah PNSB kepada Tuan Haji Shaffei bin Mohamed, Nazir Masjid At-Toyyibin sambil disaksikan oleh YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar bin Raja Salim, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB.

PNSB dan SPRM Negeri Selangor telah menyampaikan bantuan bakul makanan – ‘bakul integriti’ dan edaran bahan kempen anti rasuah kepada penduduk.

Manakala, pada hari Jumaat, 9 Mei 2025 di SK Morib, penyerahan sumbangan bantuan zakat kepada pelajar asnaf, barangan keperluan sekolah serta edaran bahan kempen anti rasuah telah dilaksanakan. PNSB juga telah menyerahkan sumbangan tajaan jersi bola tampar kepada pasukan bola tampar SK Morib

Objektif utama program adalah untuk membudayakan nilai integriti dalam kalangan rakyat serta meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya rasuah, khususnya dalam kalangan golongan muda dan komuniti luar bandar.

Antara pengisian program termasuk:

• Ceramah agama bertajuk “Dalam Mencari Berkat Atau Menempah Laknat” oleh Ustaz Elyas Ismail, penceramah selebriti

• Sumbangan van jenazah kepada Masjid At-Toyyibin oleh PNSB

• Edaran Bakul Integriti, bahan kempen anti rasuah dan keperluan asas kepada penduduk

• Aktiviti interaktif bersama Kapten MACC, maskot SPRM

• Perasmian Mural dan Sudut Anti Rasuah di SK Morib

• Penyampaian sumbangan zakat persekolahan kepada murid-murid asnaf

• Penyampaian sumbangan barangan keperluan kepada semua murid

• Pertandingan mewarna dan aktiviti kesedaran anti rasuah berkonsepkan ‘edu-tainment’

• Penyerahan penajaan jersi bola tampar sumbangan PNSB kepada pasukan bola tampar SK Morib