Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor bagi menjayakan Program Perkhemahan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Selangor 2023: Kepimpinan Mahasiswa Menentang Rasuah yang telah dilaksanakan pada Sabtu, 14 Oktober 2023 bertempat di Impian Rimba Resort, Pangsun, Hulu Langat.
Seramai 35 orang terdiri daripada Mahasiswa Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Negeri Selangor daripada 13 buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Selangor telah terlibat dengan program perkhemahan yang dianjurkan oleh SPRM Negeri Selangor dengan kerjasama PNSB, Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Negeri Selangor, dan PEMADAM Negeri Selangor selaku rakan strategik.
Pada program tersebut, PNSB juga telah menyumbang 40 bakul makanan kepada keluarga kurang berkemampuan di Kampung Sungai Lui Batu 20 dan Kampung Kuala Pangsun di Hulu Langat. Setiap bakul makanan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, Milo dan biskut dengan anggaran nilai RM100.00.
PNSB merupakan Syarikat Swasta pertama di Selangor yang telah menyahut inisiatif baharu Kerajaan iaitu mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui inisiatif potongan cukai pendapatan pendidikan anti rasuah bersama SPRM. Pelaksanaan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan anti rasuah di negara ini membolehkan Syarikat swasta mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Program seumpama ini wajar diteruskan agar dapat memberikan manfaat dan impak positif kepada semua yang terlibat di samping mengukuhkan hubungan kerjasama strategik di antara PNSB dan SPRM menurut YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar bin Raja Salim, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB dalam ucapan beliau.
Majlis Perasmian Program Perkhemahan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Selangor 2023 telah dihadiri oleh YBhg. Dato Haji Alis bin Salim, Pengarah SPRM Negeri Selangor, Ketua Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, pegawai-pegawai pengurusan kanan PNSB, ketua kampung, wakil-wakil komuniti dan peserta program perkhemahan AMAR.













