Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kos Rendah Projek Taman Sungai Yu Indah, Mukim Hujung Permatang, Kuala Selangor pada 12 September 2022.
Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kos Rendah Taman Sungai Yu Indah ini diadakan bagi menjayakan penyerahan kunci simbolik kepada 10 orang pembeli rumah teres kos rendah di Taman Sungai Yu Indah.


Pembangunan Skim Perumahan Kos Rendah Taman Sungai Yu Indah telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2004 namun disebabkan beberapa kekangan dan isu berbangkit, projek ini berdepan kelewatan. PNSB diberi mandat untuk melaksanakan projek ini bagi pihak Setiausaha Kerajaan Selangor (Pemerbadanan) (PSKS).
Atas inisiatif Kerajaan Negeri Selangor melalui PNSB sebagai pelaksana, Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Fasa 1 Taman Sungai Yu Indah telah berjaya dipulih dan disiapkan pada tahun 2022.
Pembangunan Taman Sungai Yu Indah dibangunkan dengan kerjasama Syarikat Serambi Padu Sdn Bhd. Bagi Fasa 1, sebanyak 107 unit rumah teres kos rendah telah siap dan mendapat Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) .Turut dibina adalah Fasa 2 Taman Sungai Yu Indah merangkumi 120 unit rumah teres kos sederhana yang dijangka siap menjelang Disember 2022. Manakala Fasa 3A melibatkan 152 unit rumah mampu milik 1 ½ tingkat dan Fasa 3B (120 unit rumah mampu milik 1 ½ tingkat) bakal siap pada tahun hadapan.
Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kos Rendah Taman Sungai Yu Indah telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor.
Turut hadir pada majlis tersebut YB Rodziah Binti Ismail, Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar & Pembangunan Usahawan; YB Borhan Bin Aman Shah, Exco Pembangunan Luar Bandar & Kebudayaan; YB Rozana Binti Zainal Abidin, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Permatang; Tuan Mohd Raiz Bin Radzuan, Pegawai Daerah Kuala Selangor dan YBhg Dato’ Dr. TPr. Juhari Bin Ahmad, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.




