Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Modal Teroka PNSB dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara PNSB bersama Sidec Sdn Bhd pada 6 September 2022 bertempat di Ballroom A, Doubletree by Hilton Shah Alam i-City.

Majlis Pelancaran Modal Teroka PNSB diadakan bagi melancarkan Dana Modal Teroka yang dikelolakan oleh anak syarikat PNSB yang baharu ditubuhkan iaitu PNSB Innovation Ventures Sdn Bhd atau PIV. PIV telah diberi mandat untuk meneroka peluang pelaburan baharu untuk PNSB. Dengan pelancaran ini, PNSB mempunyai dana modal teroka yang boleh dilaburkan ke dalam syarikat pemula yang berpotensi. Majlis Pelancaran Modal Teroka PNSB ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor.
Turut dimeterai dalam majlis yang sama adalah Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara PNSB bersama Sidec Sdn Bhd (Sidec). PNSB akan bekerjasama dengan Sidec sebagai rakan kerjasama strategik bagi pelaksanaan program ‘Selangor Accelerator Programme (SAP) 2022’. SAP merupakan sebuah program anjuran Sidec (Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation) sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor. SAP bermatlamat untuk membantu syarikat pemula (start-up) untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula serta memajukan ekosistem permulaan di Negeri Selangor bagi menyokong syarikat pemula dan usahawan untuk membina perniagaan yang luar biasa.
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman ini telah disempurnakan oleh YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar bersama Encik Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Sdn Bhd serta telah disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dan YB Dato’ Salim Bin Soib @ Hamid, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor.




