Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan jalinan kerjasama Nadi Cergas Development Sdn Bhd telah menganjurkan Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Bukit Jelutong pada Jumaat 26 Ogos 2022, jam 9.30 pagi bertempat di Galeri Jualan Rumah Idaman Bukit Jelutong, Shah Alam. Majlis ini diadakan dengan sokongan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Upacara majlis pecah tanah tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar bin Raja Salim, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, dan Ir. Dr Muhamad Fuad Bin Abdullah, Pengerusi Gagasan Nadi Cergas Berhad.
Turut hadir di majlis tersebut ialah YAD Dato’ Haji Emran bin Haji Kadir, Orang Besar Daerah Petaling; YB Khalid bin Abd Samad, Ahli Parlimen Shah Alam; YBhg Dato’ Haji Zamani Ahmad bin Mansor, Datuk Bandar Shah Alam dan YBhg Dato’ Dr TPr Juhari Bin Ahmad, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Rumah Idaman Bukit Jelutong merupakan pembangunan Rumah Idaman yang kedua selepas Pembangunan Rumah Idaman Abadi di Kajang 2, Semenyih yang telah siap dibina. Projek Rumah Idaman Bukit Jelutong dibangunkan oleh Gagasan Nadi Cergas Berhad dengan anak syarikat PNSB, PNSB Construction Sdn Bhd sebagai pelaksana, merangkumi 1,260 unit pangsapuri dilengkapi separa perabot dengan keluasan ruang binaan 1,000 kaki persegi, pada harga tawaran RM250,000 setiap satu.







