Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melalui Kelab Kebajikan PNSB telah mengadakan Majlis Penyerahan Zakat di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI, Sepang) pada 14 Mac 2022.
Cek berjumlah RM5,000 sebagai bantuan barangan keperluan sekolah untuk pembelian 5 unit komputer telah diserahkan oleh YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB kepada Guru Besar SRITI Sepang, Ustazah Siti Nor Farhanah binti Sairan. Turut hadir bersama adalah Encik Yousman Yaakub, Pengerusi Kelab Kebajikan PNSB.
Majlis Penyerahan Zakat yang diadakan oleh PNSB ini adalah sebahagian daripada Wakalah Agihan Zakat yang dianjurkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS). Wakalah Agihan Zakat memberi peluang kepada pengeluar zakat seperti PNSB untuk mendapatkan pengembalian semula agihan zakat bagi diagihkan kepada asnaf yang layak. Melalui Wakalah Agihan Zakat, pengeluar zakat dilantik sebagai wakil bagi pihak LZS untuk mengagihkan sendiri zakat dengan pemantauan LZS berdasarkan kepada prinsip agihan zakat.
PNSB telah memulakan Wakalah Agihan Zakat ini sejak tahun 2019 dan inisiatif ini akan diteruskan pada masa akan datang. Antara asnaf yang layak menerima manfaat agihan ini termasuklah asnaf fakir, miskin, muallaf, fisabilillah, ibnu sabil, amil, al-riqab dan gharimin (perubatan).







