Hubungi Kami Utama

MAJLIS MAKAN TENGAHARI BERSAMA ATLET OLAHRAGA SELANGOR SUKMA 2018

Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah mengadakan Majlis Makan Tengahari bersama Atlet Olahraga Selangor SUKMA 2018 pada 24hb Januari 2019. PNSB merupakan bapa angkat kepada pasukan olahraga kontinjen Negeri Selangor ke Sukan Malaysia 2018 di Ipoh, Perak yang telah diadakan pada 11hb hingga 22hb September 2018.

Majlis penyampaian insentif turut diadakan bagi para atlet daripada pasukan negeri Selangor yang berjaya merangkul pingat dan mengharumkan nama negeri Selangor di temasya SUKMA 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datuk Seri Haji Ahmad bin Omar dalam ucapan aluannya berkata, “PNSB telah saban tahun menyumbang kepada Kontinjen SUKMA Negeri Selangor dan ini merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat ataupun program ‘CSR’ PNSB yang berterusan. Cuma pada temasya edisi ke-19 ini, PNSB telah menjadi bapa angkat bagi pasukan olahraga Selangor”.

Pasukan olahraga negeri Selangor berjaya muncul juara bagi pertandingan olahraga di SUKMA 2018 yang telah dipertandingkan pada 17-20 September 2018 di Stadium Perak dan pasukan olahraga Selangor telah berjaya mencapai lebih pingat daripada disasarkan di mana pasukan olahraga negeri Selangor berjaya membawa pulang sebanyak 8 pingat emas; iaitu 4 pingat melepasi sasaran pingat emas, 8 pingat perak serta 4 pingat gangsa.

Seramai tiga orang olahragawan dan dua olahragawati pasukan negeri Selangor berjaya mencatatkan masa terbaik dalam acara yang ditandingi.

Walaupun Kontinjen Selangor tidak muncul juara bagi SUKMA 2018, kekuatan pasukan Selangor jelas dibuktikan dengan kedudukan ‘top 3’ jumlah kutipan pingat. Pasukan Selangor telah berjaya membawa pulang lebih banyak pingat jika dikira mengikut jumlah keseluruhan iaitu 182 keping pingat berbanding Terengganu yang membawa pulang 160 pingat keseluruhannya.

Pautan lain